OKTOBER 2024

Premier Sarawak Lancar Perkhidmatan Bas Percuma Bas Pintar Miri, Bantu Kurangkan Beban Kos Pengangkutan


MIRI, 9 Okt – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hari ini merasmikan pelancaran perkhidmatan bas percuma Bas Pintar Miri, sebuah inisiatif baru yang dijangka meningkatkan kualiti pengangkutan awam di bandar raya Miri bertempat di Miri Sentral. 

Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan untuk membeli bas baharu yang dilengkapi dengan teknologi terkini dari Volvo.

Dalam sidang media selepas majlis tersebut, Abang Johari menegaskan bahawa langkah ini adalah kesinambungan daripada dasar perkhidmatan bas RM1 yang telah diperkenalkan sebelum ini.

Langkah ini diharap mampu mengurangkan beban kos pengangkutan harian, yang mana biasanya memakan sekitar satu perlima daripada pendapatan bulanan untuk ulang-alik ke tempat kerja.

“Dengan perkhidmatan ini, kita membantu masyarakat, terutamanya golongan B40, untuk mengurangkan kos sara hidup. Ini adalah salah satu inisiatif kita untuk memastikan kos pengangkutan awam menjadi lebih mampu milik,” kata Abang Johari.

Beliau turut mengakui bahawa sebelum ini perkhidmatan bas di Miri menggunakan bas lama, dan kerajaan telah berjanji untuk menukarnya kepada bas pintar yang lebih moden dan efisien. “Hari ini, kita menunaikan janji tersebut dengan memperkenalkan bas pintar di Miri,” tambah beliau.

Selain meningkatkan perkhidmatan pengangkutan awam, Premier Sarawak turut menekankan usaha kerajaan untuk menjadikan Miri sebagai bandar pintar yang dilengkapi dengan infrastruktur canggih. Beliau menyatakan bahawa kawasan Batu Niah yang kini diiktiraf sebagai Tapak Warisan UNESCO juga akan diberi perhatian khusus.

“Pembangunan di kawasan Niah akan fokus kepada meningkatkan kemudahan infrastruktur, termasuk jalan menuju ke pekan Niah, penginapan, dan keselamatan pelancong tanpa menjejaskan ekosistem semula jadi di sana,” katanya lagi.

Premier turut menjelaskan bahawa kajian arkeologi yang dijalankan di Gua Niah menunjukkan bahawa manusia telah wujud di sana sekitar 60,000 tahun dahulu.

“Kita akan terus memelihara khazanah berharga ini dan menggalakkan para saintis serta pelajar untuk melakukan penyelidikan lanjut di kawasan berkenaan,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pengangkutan Sarawak; Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Bin Marzuki, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Dr. Jerip Anak Susil, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan); dan Yang Berbahagia Datu Wong Hee Sieng, Setiausaha Tetap, Kementerian Pengangkutan Sarawak.